Rintik III : Dusta Pada Nur


Ada cahaya yang turun perlahan,

bukan sekadar menerangi,

tetapi membisikkan arah pulang.

Namun manusia,

dalam leka yang digula-gulakan nafsu,

menukar arah —

menyembah cahaya palsu yang membakar perlahan.


Nafsu itu bukan sekadar keinginan,

ia adalah bayang-bayang

yang menari dalam kelam,

membisik bahawa gelap itu indah

dan terang itu menyakitkan mata.


Maka ramailah

yang mendewakan kehendak sendiri,

meninggikan takhta bagi dunia,

lalu mencampak jiwa ke pinggir nurani

seperti debu yang tidak bernilai.


Sedang cahaya Ilahi

terus menunggu,

di hujung doa yang dilupakan,

di sujud yang tertangguh,

di sepi malam yang tidak lagi ditangisi.


Apakah cahaya itu tidak cukup terang?

Atau mata hati yang terlalu pekat

dibutakan oleh cinta dunia yang sementara?


Berbahagialah yang memilih cahaya,

walau sunyi jalannya,

kerana nafsu tidak pernah menjanjikan syurga.

Comments

Popular posts from this blog

Rintik II : Mazbah Ringgit

Rintik I : Sebuah Bayangan

Pengenalan